KINI, kita berada di bulan Syaaban dan bermakna semakin menghampiri
Ramadan. Dalam budaya hidup masyarakat Islam, kehadiran Syaaban tidaklah
semeriah menyambut Ramadan.
Ramadan dianggap bulan penuh rahmat lagi berkat. Tetapi jangan kita
lupa, Syaaban yang bersempadan Ramadan juga mempunyai kedudukan
istimewa.
Jangan biarkan Syaaban berlalu begitu saja tanpa diisi dengan amalan
sunat seperti berpuasa yang menjadi salah satu amalan yang dianjurkan
Rasulullah s.a.w.
Amalan itu adalah lambang kita mencontohi Rasulullah s.a.w dalam
beramal ibadah. Berpuasa pada bulan Syaaban boleh diibaratkan seperti
‘menghidupkan enjin’ kereta sebelum memandu.
Selain mengikuti jejak sunnah Rasulullah s.a.w, kita juga dapat
membiasakan diri dengan amalan berpuasa. Rasulullah menunjukkan kepada
kita bagaimana menghidupkan serta meraikan kehadiran Syaaban.
Aisyah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka puasa.
Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan
puasa sebulan melainkan bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat
Baginda lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban. (Hadis
direkodkan oleh Bukhari).
Dari kenyataan Aisyah itu, jelaslah amalan sunnah yang seharusnya
kita tegakkan semasa berada dalam bulan Syaaban ini ialah berpuasa
sunat.
Diceritakan Usamah bin Zaid, katanya, “Aku bertanya kepada
Rasulullah, “Ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa
dalam sebulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa
daripada sebahagian bulan Syaaban.
Lalu Baginda menjawab, “Itulah bulan yang manusia melupakannya antara
bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada
Allah Tuhan Semesta Alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat
ketika aku sedang berpuasa.’ (Hadis riwayat An-Nasai’).
Kenyataan Rasulullah s.a.w itu menjadi dorongan kepada kita serta
ahli keluarga supaya menggerakkan semangat berpuasa. Jangan membiarkan
diri kita termasuk dalam kategori golongan mukmin yang melupakan
kelebihan bulan Syaaban.
Ulama merumuskan, berpuasa pada bulan Syaaban adalah ibadah puasa terbaik selepas puasa wajib di bulan Ramadan.
Abdullah bin Amru bin Al-As menceritakan, Rasulullah memberitahu,
“Allah memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu
diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh
diri dan orang yang menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Manakala, Muaz bin Jabal mempunyai maklumat berkenaan fadilat
Syaaban. Katanya, Rasulullah pernah mengatakan, “Allah melihat kepada
hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya
kepada seluruh hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan
syirik dan orang berzina.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).
Berasakan dua riwayat hadis itu, Syaaban adalah bulan yang sangat
perlu kita manfaatkan kerana ganjaran pahala besar menanti setiap
mukmin.
Selain berpuasa, kita juga dianjurkan aktif melakukan gerak kerja
amalan hasanah lain. Antaranya membanyakkan bertaubat, berdoa, dan
selawat.
Begitu juga amalan bersedekah; jangan hanya tunggu tibanya Ramadan,
baru tangan ‘ringan’ untuk bersedekah kerana ingin merebut fadilat
Ramadan.
Antara peristiwa yang berlaku dalam bulan Syaaban pada zaman
Rasulullah antaranya pertukaran kiblat dari Masjid Al-Aqsa di Baitul
Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah.
Kisah perubahan kiblat itu berlaku pada tahun ke-2 Hijrah. Sebelum
itu, Rasulullah menunaikan solat menghadap ke Baitul Maqdis selama 17
tahun.
Solat pertama yang didirikan Baginda apabila perintah menukarkan arah
kiblat Allah ke arah Kaabah ialah solat Asar sambil diikuti sahabat
Baginda.
Sejarah itu menjadi titik penting dalam perkembangan syiar Islam dan
wajar sebagai umat masa kini mengingatinya. Baginda berkata, “Kaabah itu
kiblat bagi orang di dalam masjid dan masjid itu bagi orang di Tanah
Haram (Makkah) dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari
barat hingga ke timur daripada umatku.” (Hadis riwayat Al-Qurthubi).
Kerana banyaknya ganjaran pahala pada bulan Syaaban ini, maka hati
mesti dididik supaya sentiasa cintakan amalan sunnah yang dianjurkan
Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment