Monday 11 February 2013


Kenali Nabi Muhammad s.a.w dan Cintai Nabi

Posted by epondok di Februari 9, 2013

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
TAK kenal maka tak cinta. Begitulah ungkapan yang selalu kita dengar yang menggambarkan bahawa cinta itu biasanya bermula dengan pengenalan. Keimanan yang sejati bukan sahaja dapat dilihat kepada keyakinan dan kepercayaan yang lahir daripada hati. Namun, dapat menghasilkan cinta yang hakiki sehingga sanggup berkorban untuknya.
Demikian juga keimanan kepada Rasulullah SAW. Ia bukan sahaja akan melahirkan keyakinan terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda tetapi akan melahirkan kecintaan terhadap peribadi dan sahsiah, lantas akan membentuk ummah yang sentiasa mengikuti sunnah.
Apatah lagi kecintaan kepada Rasulullah SAW merupakan antara bukti kesempurnaan iman.
Daripada Anas ra katanya: “Rasulullah SAW bersabda tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Golongan yang sering melemparkan tuduhan serta cacian kepada Rasulullah SAW sebenarnya terdiri daripada mereka yang tidak mengenali atau tidak berhasrat untuk mengenali baginda.
Sebaliknya, bagi mereka yang mengkaji lebih mendalam, akan terpikat dan kagum dengan keperibadian baginda sehingga tidak tergamak untuk mencaci Baginda walaupun dengan sepatah perkataan sekalipun. (rujuk al-Taubah: 128)
Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW adalah manusia biasa yang diutuskan dalam kalangan kita. Baginda bukannya malaikat yang melangkaui batasan kemampuan manusia biasa sehingga tidak mampu dicontohi dan diteladani.
Walaupun baginda adalah manusia biasa, tetapi dikurniakan dengan keistimewaan tertentu yang membezakan baginda daripada manusia biasa seperti kita.
Antara keistimewaan Rasulullah SAW yang perlu kita hayati agar dapat meningkatkan lagi rasa cinta kepadanya ialah baginda ialah pilihan dan lantikan Allah SWT.
Sebagai peringatan kita bersama, Nabi Muhammad SAW bukan dipilih oleh manusia, sama ada melalui proses syura atau pilihan raya. Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman: Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. (Thaha: 13)
Oleh itu, wajib kita yakin dan percaya bahawa baginda adalah manusia yang terbaik kerana menjadi pembawa dan penyampai kalam Allah SWT yang dipilih sendiri olehNya.
Mempertikaikan kerasulan baginda seolah-olah mempertikaikan pilihan yang telah dibuat oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW juga dibangkitkan sebagai penghulu bagi nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Telah menjadi syarat kepada keimanan kepada rasul iaitu dengan beriman dengan semua rasul yang diutuskan termasuklah Nabi Muhammad SAW.
Terdapat di kalangan ahli kitab yang beriman kepada nabi-nabi terdahulu, namun enggan untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW.
Maka, keimanan tersebut tidak diiktiraf oleh Allah SWT kerana tidak lengkap. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW sebagai penutup kepada nabi dan rasul.
Jabir ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang membangunkan sebuah rumah. Beliau membinanya dengan baik dan sempurna, tetapi masih ada satu tempat yang belum diletakkan bata. Ramai orang yang masuk ke dalam rumah tersebut dan mereka kagum terhadapnya seraya berkata: Alangkah lebih baik jika kekurangan itu disempurnakan. Kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diibaratkan sebagai bata tersebut di mana kedatangan aku adalah sebagai penutup para Nabi. (riwayat Muslim)
Mukjizat adalah sesuatu yang berlaku kepada para Nabi di luar adat dan kebiasaan manusia biasa.
Ia dikurniakan oleh Allah SWT untuk membuktikan kebenaran risalah yang dibawa dan untuk memeliharanya dari halangan musuh-musuh.
Semua nabi dan rasul dikurniakan dengan mukjizat. Antara mukjizat yang terkenal ialah tongkat Nabi Musa as yang bertukar menjadi ular, Nabi Isa as yang boleh menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit buta, mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh berkomunikasi dengan jin dan binatang.
Namun, semua mukjizat tersebut hanya tinggal sejarah dan tidak dapat dilihat lagi pada masa ini.
Hanya satu sahaja mukjizat yang masih kekal sehingga hari ini iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ia dipelihara oleh Allah SWT.
Tidak terkira bilangan orang yang telah memeluk agama Islam hanya dengan membaca terjemahan Al-Quran.
Apatah lagi sekiranya mengkaji rahsia-rahsia yang terkandung di dalamnya yang mendahului zaman, sains dan teknologi.
Sampai hari kiamat, al-Quran terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja. (rujuk al-Isra’: 88)
Baginda juga terlalu kasih kepada umat dan kita perlu sedar bahawa kehidupan Nabi SAW semuanya diinfakkan untuk kebaikan umat baginda.
Tidak pernah sedetik pun yang dilalui oleh baginda kecuali akan difikirkan tentang nasib umatnya. Bahkan, sebelum dijemput pulang oleh Allah SWT,
Baginda masih lagi menyebut “Umatku, umatku”. Bahkan, Nabi SAW akan menggunakan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya untuk membantu umatnya di Akhirat kelak.
Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap Nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)
Berapa banyak peristiwa kekejaman yang berlaku terhadap baginda. Namun, Baginda SAW tidak pernah berdendam. Dalam peristiwa pembukaan Mekah, Baginda SAW telah membebaskan seluruh kafir Quraisy Mekah walaupun mereka pernah menganiaya Baginda dan para sahabat ra.
Demikianlah beberapa bukti kehebatan Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, kekaguman kepada kehebatan ini tidak cukup, melainkan ia perlu disusuli dengan rasa kasih dan cinta kepada Baginda SAW.

Saturday 7 July 2012

Syaaban

KINI, kita berada di bulan Syaaban dan bermakna semakin menghampiri Ramadan. Dalam budaya hidup masyarakat Islam, kehadiran Syaaban tidaklah semeriah menyambut Ramadan.
Ramadan dianggap bulan penuh rahmat lagi berkat. Tetapi jangan kita lupa, Syaaban yang bersempadan Ramadan juga mempunyai kedudukan istimewa.
Jangan biarkan Syaaban berlalu begitu saja tanpa diisi dengan amalan sunat seperti berpuasa yang menjadi salah satu amalan yang dianjurkan Rasulullah s.a.w.
Amalan itu adalah lambang kita mencontohi Rasulullah s.a.w dalam beramal ibadah. Berpuasa pada bulan Syaaban boleh diibaratkan seperti ‘menghidupkan enjin’ kereta sebelum memandu.
Selain mengikuti jejak sunnah Rasulullah s.a.w, kita juga dapat membiasakan diri dengan amalan berpuasa. Rasulullah menunjukkan kepada kita bagaimana menghidupkan serta meraikan kehadiran Syaaban.
Aisyah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka puasa.
Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban. (Hadis direkodkan oleh Bukhari).
Dari kenyataan Aisyah itu, jelaslah amalan sunnah yang seharusnya kita tegakkan semasa berada dalam bulan Syaaban ini ialah berpuasa sunat.
Diceritakan Usamah bin Zaid, katanya, “Aku bertanya kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam sebulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian bulan Syaaban.
Lalu Baginda menjawab, “Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Allah Tuhan Semesta Alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.’ (Hadis riwayat An-Nasai’).
Kenyataan Rasulullah s.a.w itu menjadi dorongan kepada kita serta ahli keluarga supaya menggerakkan semangat berpuasa. Jangan membiarkan diri kita termasuk dalam kategori golongan mukmin yang melupakan kelebihan bulan Syaaban.
Ulama merumuskan, berpuasa pada bulan Syaaban adalah ibadah puasa terbaik selepas puasa wajib di bulan Ramadan.
Abdullah bin Amru bin Al-As menceritakan, Rasulullah memberitahu, “Allah memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Manakala, Muaz bin Jabal mempunyai maklumat berkenaan fadilat Syaaban. Katanya, Rasulullah pernah mengatakan, “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang berzina.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).
Berasakan dua riwayat hadis itu, Syaaban adalah bulan yang sangat perlu kita manfaatkan kerana ganjaran pahala besar menanti setiap mukmin.
Selain berpuasa, kita juga dianjurkan aktif melakukan gerak kerja amalan hasanah lain. Antaranya membanyakkan bertaubat, berdoa, dan selawat.
Begitu juga amalan bersedekah; jangan hanya tunggu tibanya Ramadan, baru tangan ‘ringan’ untuk bersedekah kerana ingin merebut fadilat Ramadan.
Antara peristiwa yang berlaku dalam bulan Syaaban pada zaman Rasulullah antaranya pertukaran kiblat dari Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah.
Kisah perubahan kiblat itu berlaku pada tahun ke-2 Hijrah. Sebelum itu, Rasulullah menunaikan solat menghadap ke Baitul Maqdis selama 17 tahun.
Solat pertama yang didirikan Baginda apabila perintah menukarkan arah kiblat Allah ke arah Kaabah ialah solat Asar sambil diikuti sahabat Baginda.
Sejarah itu menjadi titik penting dalam perkembangan syiar Islam dan wajar sebagai umat masa kini mengingatinya. Baginda berkata, “Kaabah itu kiblat bagi orang di dalam masjid dan masjid itu bagi orang di Tanah Haram (Makkah) dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku.” (Hadis riwayat Al-Qurthubi).
Kerana banyaknya ganjaran pahala pada bulan Syaaban ini, maka hati mesti dididik supaya sentiasa cintakan amalan sunnah yang dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Saturday 29 October 2011

 Eid al-Adha akan muncul. Antara syiar penting ialah sembelihan korban. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menjadi contoh teladan hebat dalam perkara ini. Ia dicontohi oleh umat yang datang kemudian. Kita mengambil semangat dan iktibar dari peristiwa besar ini sempena kedatangan Eid al-Adha nanti.



Allah berfirman, maksudnya:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”.
Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”.

Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”.
Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.
Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.”
AsSaffat:102-113
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): ” Nyawa kamu  akan diambil oleh Malakul-Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan) “. asSajdah: 11
Di antara tanda kekuasaan Allah ialah Dialah yang mematikan seorang dan mengambil nyawa apabila habis tempoh umurnya. Malakulmaut bernama Izrail ( Abdullah) menguruskan keadaan itu menurut perintah Allah. Allah menjadikan mengambil ruh itu di tangan Malaikat.
malakulmaut cabut nyawa (28)malakulmaut cabut nyawa (17)
Ibn Atiyyah menyebutkan satu hadis ‘Semua binatang dimatikan oleh Allah tanpa melalui malakulmaut’ seolah-olahnya Allah menghilangkan sifat hidup binatang itu. Demikian juga terhadap manusia. Allah yang melakukannya secara hakiki, malakulmaut adalah wakil dan perantaraannya. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah yang mematikan satu diri itu di saat matinya.” dan firmanNya bermaksud: “Yang menciptakan mati dan hidup”. Oleh itu, malakulmaut menggenggam, pembantunya yang menarik nyawa dan Allah Taala yang mencabut nyawa. Tetapi tatkala malakulmaut yang menguruskan perkara itu dengan perantaraan, disandarkan kematian itu kepadanya.
Diriwayatkan apabila malakulmaut diwakilkan Allah untuk mengambil nyawa, ia berkata: “Wahai Tuhanku! Engkau jadikan aku ini diingat dengan cara tidak elok dan dicela oleh manusia. Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Aku jadikan bagi kematian itu penyakit dan sebab, lalu mereka akan menyandarkan kematian kepada sebab dan penyakit itu, dan kamu tidak akan diingati melainkan dengan cara yang baik.”
(atTafsir alMunir j 21 ms 200)

Thursday 1 September 2011

Puasa 6 Syawal hadiah Nabi Muhammad pada umatnya

Posted by epondok di September 1, 2011
Ustaz Zainudin Hashim
Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT ke muka bumi ini.Baginda bukan sahaja sibuk dengan tugas utamanya iaitu menyampaikan ajaran Islam daripada Allah kepada umat manusia, malah memiliki sifat-sifat terpuji atau sifat Rabbaniah (ketuhanan dalam diri).Ini kerana baginda bukan setakat menghubungkan diri dengan Allah (Hablun Minallah) dalam segenap urusan serta tindakannya, malah tidak lupa juga menghubungkan diri dengan manusia sekeliling terutama umatnya (Hablun Minan Nas).Setiap apa yang diungkapkan oleh baginda, sama ada berupa berita gembira atau berita yang mengancam mereka di akhirat, baginda sentiasa memikirkan agar umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT berupa pahala dan ganjaran yang membolehkan mereka layak memasuki syurga Allah. Ganjaran setahun dengan amalan puasa enam
Begitulah halnya dengan puasa enam di bulan Syawal, baginda mahukan dari umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.
Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.
Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.
Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).
Inilah yang dikatakan ingatan Nabi terhadap umatnya, begitulah juga dengan peringkat awal kefarduan solat pada malam Mi’raj ke langit, Nabi kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu sembahyang hingga bermohon ke hadrat Allah agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun ada di kalangan umat Islam yang tidak melakukan solat fardu lima waktu.
Izin suami penting untuk puasa enam
Walaupun dijanjikan pahala setahun dengan melaksanakan puasa enam Syawal, seorang isteri perlu mendapatkan izin suaminya terlebih dahulu, kerana puasa enam tersebut adalah sunnat, sedangkan mentaati suami yang berkeinginan adalah wajib diutamakan, melainkan suami reda dengan pelaksanaan puasa tersebut.
Apatah lagi jika seorang isteri yang tertinggal puasa Ramadan kerana uzur syar’ie, dia digalakkan untuk mengqada’nya pada bulan Syawal diniatkan untuk qada’ puasa di samping ibadat puasa sunat pada masa yang sama, insya-Allah dengan cara itu dia tidak akan terlepas untuk mendapatkan pahala setahun berpuasa.
Bagaimana dengan sikap kita terhadap baginda Rasulullah?
Kalau disebutkan di atas tadi bahawa, baginda sering mengenang dan mengingatkan umatnya dalam segenap tindakannya, bagaimana pula dengan diri kita yang serba kurang dan kerdil bila berhadapan dengan Allah SWT.
Apakah setiap tindakan, perbuatan, kenyataan, perakuan yang terbit dari diri lidah kita yang tidak bertulang itu memperlihatkan kita benar-benar mengenang dan mengingati Nabi ajaran Muhammad s.a.w.
Benarkah kita mengingati Nabi ketika membuat keputusan mesyuarat tidak sedikit pun menyingung peribadi atau ajaran baginda.
Dalam banyak masalah yang dihadapi oleh umat Islam dalam negara kita hari ini termasuk masalah remaja, mereka jarang sekali menyelesaikannya dengan kaedah yang ditunjukkan oleh baginda menerusi wahyu al-Quran, masalah perzinaan sebagai contoh, bila sabit kesalahan dengan saksi-saksi yang ada, sepatutnya bagi orang yang berzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati dan yang belum kahwin disebat, tetapi ajaran Nabi Muhammad ini ditukar kepada undang-undang denda dan penjara.
Adakah tindakan manusia hari ini membolehkan mereka mendapatkan syafaat (recommend) baginda pada hari kiamat sedang baginda sentiasa memikirkan bagaimana untuk umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT?

Friday 29 July 2011

Tingkat ibadat sunat persiapan hadapi Ramadan

Posted by epondok di Julai 29, 2011
Oleh Amran Zakaria
Ummah kena bersedia laksana perintah wajib elak menyesal
BERDEPAN suasana yang berlaku dalam negara memungkinkan kita terlupa kehadiran Ramadan beberapa hari lagi. Saat itu memang dinanti kerana Ramadan bulan anugerah Allah yang luar biasa keberkatan dan rahmatnya.
Mereka yang diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sewajarnya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi peluang meneruskan kehidupan pada bulan mulia yang penuh rahmat.
Sesungguhnya Ramadan benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan ikhlas maka Allah akan mengampuni dosanya yang sudah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ada dua perkara perlu diberi perhatian sebelum Ramadan. Pertama, persiapan menyambut dan mengimarahkannya. Jangan ambil mudah soal ini selepas hampir setahun kita meninggalkannya.
Apabila tidak bersedia dibimbangi kita meremehkan perintah wajib. Akibatnya sangat besar iaitu kelemahan menjalankan kewajipan hingga tersekat keredaan Allah atas kelalaian sendiri.
Keduanya, apakah kita akan berjaya memenuhi piawaian Ramadan yang dituntut mengisinya dengan mengerjakan amal ibadat. Yakinlah ganjaran berganda yang diperuntukkan. Bagaimanapun, dugaan tetap menanti.
Sebagai persiapan menyambut kehadiran Ramadan, sebaiknya membuat persiapan awal supaya tidak ada cacat celanya yang membawa kepada penyesalan selepas berlalunya sambutan itu.
Melakukan puasa sunat sebelum Ramadan adalah salah satu cara melatih dan membiasakan diri menghadapi Ramadan. Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang sebaik-baiknya kepada ummah apabila Baginda memperbanyakkan puasa sunat pada Syaaban.
Kita juga hendaklah sentiasa memperbaharui taubat kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap keturunan Adam itu banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Ramadan juga menguji ketaatan sekali gus membiasakan diri dengan amal ibadah sehingga jiwa terdidik untuk melaksanakan segala perintah Allah. Sehubungan itu, mukmin digalakkan memperbanyakkan iktikaf di masjid untuk beribadah kepada Allah.
Segala virus penyakit mazmumah yang membiak dalam hati seperti angkuh, sombong, riak, pemarah, pendendam dan sebagainya dapat dihapuskan melalui amalan iktikaf. Gantikan dengan usaha mempererat silaturahim kerana ia tanda seseorang itu beriman dengan sebenar-benarnya.
Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musa bin Imran pernah berkata: Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan-Mu? Allah menjawab: Barang siapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Banyak kelebihan bagi orang yang memaafkan kesilapan orang lain, bukan hanya ketenangan hidup di dunia malah akan mendapat kelebihan di akhirat. Apa yang lebih penting, sikap memberi maaf dan memohon maaf ini menjadi rimbunan menyejukkan jiwa untuk melaksanakan solat dan puasa.
Atta bin Abdullah Khurasani meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berjabat tanganlah antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Hadis riwayat Muwatta Imam Malik)
Untuk menambah kerinduan dan semangat kita membuat persiapan menyambut kedatangan Ramadan, hendaklah kita mengingat dan merenung kembali pesanan Rasulullah SAW yang pernah Baginda sampaikan pada akhir bulan Syaaban.
Salman al-Farisi menyatakan Rasulullah SAW pernah berkhutbah pada akhir Syaaban: “Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan penuh berkat, bulan yang dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai suatu kewajipan dan solat malamnya sebagai sunnah. Siapa saja yang bertaqarrub di dalamnya dengan sebuah kebajikan, ia seperti melaksanakan kewajipan pada bulan yang lain. Siapa saja yang melaksanakan satu kewajipan di dalamnya, ia seperti melaksanakan 70 kewajipan pada bulan lainnya. Ramadan adalah bulan sabar; sabar pahalanya adalah syurga. Ia juga bulan penglipur lara dan ditambahnya rezeki seorang Mukmin. Siapa saja yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa, ia akan diampuni dosa-dosanya dan dibebaskan lehernya dari api neraka. Ia akan mendapatkan pahala orang itu tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Sahabat berkata: Kami tidak memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa puasa? Rasulullah SAW menjawab: Allah akan memberikan pahala kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka berpuasa meskipun dia hanya memberi sebutir kurma, seteguk air minum atau setelapak susu. Ramadan adalah bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman).

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Posted by epondok di Julai 30, 2011
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.
Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.
Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)
Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia… (al-Baqarah: 185)
Kelebihan Ramadan
Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: “Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari”.
Bulan Ramadan dikenali dengan ‘bulan kesabaran’. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.
Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga.”
Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:
lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.
Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.
Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain”.
Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.
Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami’, (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.
Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.
Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.
Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: “Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya”.
Kerana Allah
Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :
Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.
Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.
Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.
Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.
Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: “Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku”.
Sebahagian salafussoleh berkata: “Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya”.
Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.
Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.
Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.
Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).
Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Boleh tangguh sujud tilawah

Posted by epondok di Julai 30, 2011
DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud tetapi aku menolak maka untukku neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tilawah ertinya bacaan. Maka sujud tilawah ertinya adalah sujud bacaan. Dalam al-Quran ada beberapa ayat iaitu apabila dibaca ayat itu, kita disunatkan bersujud. Ayat inilah disebut ayat sajdah dan sujudnya disebut sujud tilawah.
Sujud tilawah disunatkan tidak hanya pada waktu solat tetapi juga di luar solat. Namun, dalam solat berjemaah, jika imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan imam.
Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Contohnya, ketika sedang di jalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah.
Maka, tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.
Ayat sajdah ialah surah as-Sajdah, ayat 15; al-A’raaf, ayat 206; ar-Ra’d, ayat 15; an-Nahl, ayat 49; al-Israa’, ayat 107; Maryam, ayat 58; al-Haj, ayat 18; al-Furqaan, ayat 60; an-Naml, ayat 25; Fussilat, ayat 38; al ‘Alaq, ayat 9; an-Najm, ayat 62; Insyiqaaq, ayat 21; Saad, ayat 24.
Cara melakukan sujud tilawah di luar solat menurut mazhab Syafi’e ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud dan membaca sepotong ayat ketika sujud yang maksudnya: “Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta.” Kemudian kembali duduk dan memberi salam.
Manakala ketika dalam solat pula cara melakukan sujud tilawah ialah sebaik saja membaca ayat sajdah, hendaklah terus bersujud dan membaca bacaan seperti di atas (dalam sujud). Setelah itu berdiri semula meneruskan bacaan seterusnya.